Make your own free website on Tripod.com
The JavaScript Source
The JavaScript Source
TERJEMAHAN AL-QURAN

Surah 60, Surah al-Mumtahanah (Perempuan Yang Diuji Imannya) : 13 ayat.

Bismillahi al-Rahman al-Rahim (Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani).
60-1:  Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuh-Ku (musuh Allah) dan musuh kamu menjadi teman setia yang kamu temui  mereka (menyampaikan maklumat), kerana kasih sayang; padahal sesungguhnya mereka ingkar kepada kebenaran yang datang kepada kamu, mereka mengusir rasul dan kamu kerana kamu beriman kepada Allah, Rab (Tuhan) kamu. Jika kamu benar-benar keluar untuk berjihad pada jalan-Ku (jalan Allah) dan mencari keredaan-Ku (keredaan Allah), (janganlah) kamu menyampaikan rahsia kepada mereka, kerana rasa kasih sayang. Aku lebih mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu nyatakan. Dan sesiapa antara kamu yang melakukannya, maka sesungguhnya dia telah tersesat daripada jalan yang lurus.
60-2:  Jika mereka menangkap kamu, (nescaya) mereka menjadi musuh bagi kamu dan mereka melepaskan tangan-tangan mereka dan lidah mereka kepada kamu dengan kejahatan, dan mereka ingin supaya kamu kufur. 
60-3:  Tidak bermanfaat kepada kamu hubungan keluarga dan anak-anak kamu pada hari Kiamat. Ia akan memisahkan antara kamu. Dan Allah terhadap apa yang kamu kerjakan adalah al-Basir (Maha Melihat).

60-4:  Sesungguhnya telah ada bagi kamu teladan yang baik pada Ibrahim dan orang yang bersama dengannya, tatkala mereka berkata kepada kaum mereka: "Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu ibadatkan selain Allah. Kami mengingkari kamu, dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah sahaja.” Kecuali perkataan Ibrahim kepada bapanya: "Sesungguhnya aku akan memohonkan keampunan bagi kamu dan aku tiada berkuasa apa-apa untuk kamu daripada Allah. Rabbana (wahai Tuhan kami)! Kepada Engkau (Allah) kami bertawakal, dan kepada Engkau kami bertaubat, dan kepada Engkau kami kembali.” 
60-5:  "Rabbana (wahai Tuhan kami)! Janganlah Engkau jadikan kami fitnah bagi orang kafir. Dan ampunilah kami. Rabbana (wahai Tuhan kami)! Sesungguhnya Engkau (Allah), Engkau adalah al-‘Aziz (Yang Maha Perkasa), lagi al-Hakim (Maha Bijaksana).” 
60-6:  Sesungguhnya bagi kamu, pada mereka itu ada teladan yang baik, bagi orang yang mengharapkan Allah dan hari kemudian. Dan sesiapa yang berpaling, maka sesungguhnya Allah, Dia adalah al-Ghaniy (Yang Maha Kaya), lagi al-Hamid (Maha Terpuji).

60-7:  Mudah-mudahan Allah menimbulkan kasih sayang antara kamu dengan orang yang kamu musuhi antara mereka, dan Allah adalah al-Qadir (Maha Kuasa). Dan Allah adalah al-Ghafur (Maha Pengampun), lagi al-Rahim (Maha Mengasihani). 
60-8:  Allah tiada melarang kamu terhadap orang yang tidak memerangi kamu kerana al-din (agama) dan tidak mengusir kamu dari kampung halaman kamu, bahawa kamu berbuat baik dengan mereka dan berlaku adil dengan mereka. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil.
60-9:  Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu terhadap orang yang memerangi kamu kerana al-din (agama) dan mengusir kamu dari kampung halaman kamu dan mereka membantu untuk mengusir kamu, bahawa kamu menjadikan mereka kawan. Dan sesiapa menjadikan mereka  kawan, maka mereka itulah orang yang zalim.
60-10:  Wahai orang yang beriman! Apabila datang berhijrah kepada kamu Mukminat (perempuan yang beriman), maka hendaklah kamu uji mereka. Allah lebih mengetahui tentang keimanan mereka. Maka jika kamu telah mengetahui bahawa mereka (benar-benar) Mukminat, maka janganlah kamu kembalikan mereka kepada orang kafir. Mereka (Mukminat) tidak halal bagi (suaminya) orang kafir itu, dan mereka (suami yang kafir) itu tiada halal pula bagi mereka (Mukminat). Dan berikanlah kepada (suami-suami) mereka apa yang telah mereka bayar. Dan tiada dosa atas kamu mengahwini mereka apabila kamu berikan kepada mereka mas kahwinnya. Dan janganlah kamu tetap berpegang pada tali (perkahwinan) dengan perempuan kafir, dan mintalah apa yang telah kamu belanjakan, dan mereka meminta apa yang telah mereka belanjakan. Demikianlah hukum Allah yang ditetapkan-Nya antara kamu. Dan Allah adalah al-‘Alim (Maha Mengetahui), lagi al-Hakim (Maha Bijaksana). 
60-11:  Dan jika seseorang daripada isteri-isteri kamu lari kepada orang kafir, kemudian kamu mengalahkan mereka maka berikanlah kepada orang yang  isterinya lari itu sebanyak yang telah mereka belanjakan. Dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya kamu beriman.
60-12:  Wahai nabi! Apabila datang kepada engkau Mukminat (perempuan yang beriman) untuk mengadakan bai’at (janji setia), bahawa mereka tidak akan mempersekutukan sesuatu pun dengan Allah, dan mereka tidak akan mencuri, dan mereka tidak akan berzina, dan mereka tidak akan membunuh anak-anak mereka, dan mereka tidak akan berbuat dusta yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka, dan mereka tidak akan menderhakai engkau dalam perkara makruf (kebaikan), maka terimalah bai’at (janji setia) mereka dan mohonkanlah keampunan kepada Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah adalah al-Ghafur (Maha Pengampun), lagi al-Rahim (Maha Mengasihani).
60-13:  Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu jadikan penolong kamu kaum yang dimurkai Allah, sesungguhnya mereka telah berputus asa terhadap akhirat sebagaimana berputus asa orang kafir daripada penghuni kubur.
 
 
LAMAN UTAMA
SURAH AL-SAF